Image hosted by Photobucket.com
12:11 AM | Author: Pelaut
Abang,
Sayang letih menanti hari.. "Abang akan menjenguk sayang". Itu akan abang ulang setiap kali sayang mengadu. Ya, esok abang datang. Tetapi lusa abang akan pergi.. Pergi tinggalkan sayang seorang di sini. Kemudian, menanti lagi.. Tak berkesudahan. Pahitnya menunggu Samsung Z107 berdering. Pahit. Tersangat pahit...

Abang,
Di awal waktu kita berjauhan, terasa hati dibedah keluar. Dibawa pergi bersama abang dan kemudian ditinggalkan bergantungan. Terasa hilang punca arah tuju hidup sayang. Mujur akal masih rasional. Mujur sayang bertuhankan Allah.. Ah, malu melihat diri.. Mengaku pejuang, tetapi kalah dengan ujian semudah ini. Ya, itulah iman sayang.. Abang, maafkan sayang!

Abang,
Suatu tika dahulu,kita berjanji untuk menjadi pejuang. Sama-sama berjuang. Sama-sama senang. Sama-sama susah. Jika ke paya, kita akan turun berlumpur sama. Jika ke cakrawala, kita berterbangan sama. Itu janji kita. Tapi, rupanya sayang tak setabah itu.. Abang, maafkan sayang!

Abang,
Pernah sayang menghisab diri. Kenapa sayang 'kehilangan' diri. Sentiasa menangisi ketiadaan abang di sisi. Kalau dulu sebelum kita bersatu, tidaklah sayang seteruk ini. Oh, barulah sayang sedari.. Cinta abang cinta sejati. Abang dan sayang, sama-sama cinta pertama. Kalau dulu, sayang dididik emak dengan didikan ala jantan. Emak tidak mahu anak perempuannya menjadi 'perempuan'. Kata emak, biar tahu berdiri sendiri. Biar tahu pahit maung kehidupan sejak kecil untuk bekalan masa hadapan. Tetapi, didikan itu kelihatan seakan hilang. Hilang bila cinta abang sayang ketemu..

Abang,
Sayang bukan menangisi kekurangan abang untuk kemudahan hidup kita. Usah disalah faham tangisan sayang ini. Sayang tidak tahu adakah sayang mampu menanggung beban rindu ini. Itu yang menyebabkan sayang beraliran air mata.. Bayangkan, terpandangkan wajah abang di potret, akan menyiat hati sayang. Menyebut nama abang, bagai mencurah minyak ke api rindu!

Abang,
Bebanan hidup kita masih belum banyak sebanyak yang dipikul RasulAllah s.a.w. Tetapi, itulah sayang.. Sayang terasa yang sayang sudah tewas. Kalah. Ya, sayang mengalah... Abang, maafkan sayang!

Abang,
Maafkan sayang,abang!